KOTA BHARU – Penduduk di Kampung Panji di sini mendakwa mereka terkejut selepas sepasukan menyerbu kediaman berhampiran sungai di kampung itu dalam Op Global semalam.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kediaman satu tingkat dan berpagar itu sunyi selepas penghuninya dibawa oleh pihak berkuasa dipercayai untuk proses dokumentasi.
Seorang penduduk yang dikenali Amin, 40-an, berkata, sebelum ini dia tidak mengesyaki apa-apa walaupun terdapat kenderaan keluar masuk dari kawasan rumah tersebut.
“Saya ingatkan kediaman berpagar itu didiami keluarga besar kerana terdapat tiga buah kereta di dalamnya.
“Saya tidak ambil tahu pun tentang penghuni rumah tersebut kerana yang dilihat keluar masuk dari situ semuanya berpurdah dan bersongkok. Saya difahamkan rumah itu menempatkan pekerja atau keluarga yang mempunyai ahli yang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Seorang lagi penduduk yang dikenali Hasnah, 57, memberitahu, dia mengetahui terdapat serbuan di lokasi tersebut selepas dimaklumkan oleh jirannya yang ternampak kenderaan polis di premis berkenaan.
Katanya, dia cuba menjenguk ke kawasan rumah tersebut dan melihat kenderaan keluar.
“Saya tidak tahu aktiviti penghuni di dalam rumah tersebut kerana ia sentiasa ditutup. Apabila dapat tahu pasukan polis buat serbuan, sudah tentu saya terkejut. Saya tidak menyangka ia dikaitkan dengan sebuah organisasi yang sedang hangat diperkatakan ketika ini,” kata wanita itu.
Semalam Kosmo! Melaporkan pelbagai jenis buku berkaitan doktrin yang dipercayai diperjuangkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dikesan ditanam dan dibakar berhampiran rumah keluarga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu di Kampung Panji.
Puluhan buku yang sebahagian tertera gambar abuya itu telah ditanam di tepi sungai selepas Ketua Pegawai Eksekutif GISBH ditahan polis pada Khamis lalu. Sebahagian buku itu pula dibakar dan keadaan di lokasi pembakaran didapati masih berbau asap semalam.
Taktik licik bagi mengaburi pihak berkuasa itu terbongkar selepas polis Kelantan menjalankan serbuan menerusi Op Global bermula pukul 7 pagi yang turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
Serbuan itu dilakukan di tiga buah rumah termasuk kediaman isteri kedua CEO GISBH yang turut didiami lebih 20 kanak-kanak.Rumah terbabit dipercayai menjadi penempatan kumpulan tersebut sejak puluhan tahun lalu dengan ahli-ahlinya yang sering bertukar-tukar.