NICE – Pasukan Nice melakar sejarah menjadi kelab pertama di alaf 21 untuk meledak enam gol dalam babak pertama selepas menewaskan Saint-Etienne 8-0 pada perlawanan Ligue 1 di Stadium Allianz Riviera awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, penyerang muda Perancis, Mohamed-Ali Cho muncul wira pasukan apabila meledak satu gol dan mencipta tiga peluang jaringan dengan Tanguy Ndombele, Youssoufa Moukoko, Evann Guessand, Sofiane Diop, Pablo Rosario mencetak nama selaku penjaring.
Pengendali Nice, Franck Haise mengakui pasukan meraikan kejayaan berganda apabila bukan sahaja menyambut ulangtahun ke-120 kelab, malah berjaya melakar sejarah dengan meraih kemenangan besar.
“Saya sangat gembira apabila kita dapat menghadiahkan sesuatu buat penyokong pada hari ulangtahun ke-120 kelab. Secara jujur, saya rasa keputusan 8-0 ini sukar untuk diulangi oleh pasukan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Olivier Dall’Oglio memohon maaf kepada penyokong setia pasukan selepas melihat anak-anak buahnya gagal memberikan prestasi diharapkan terutama pada 45 minit pertama.
“Sukar untuk saya gambarkan kenapa kita begitu teruk pada babak pertama dan pemain juga tidak faham. Namun, saya lihat pasukan sudah berusaha pada separuh masa kedua untuk memastikan aksi lebih bermaruah dapat ditampilkan,” katanya.
Sementara itu, Dennis Appiah mengakui rakan-rakan sepasukan malu dengan kekalahan tersebut dan dibolosi 0-6 pada 45 pertama adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran sebelum ini. – AGENSI