fbpx

Meerqeen, buktikan anda boleh julang trofi Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEERQEEN sangat mengidamkan Oscar dan sedang berusaha keras untuk ke arah menggapai trofi berkenaan.

DI tengah kemelut rumah tangga artis dan kes mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan wang derma membabitkan pempengaruh, terselit isu luahan Meerqeen mengenai impian menjulang trofi Oscar yang didakwa diperkecilkan segelintir rakan penggiat seni.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shammer Shauqeen Shaiful Izam, 23, kesal apabila masyarakat lebih melihat kelemahan berbanding potensi seseorang sehingga mengeluarkan pandangan negatif.

Hal ini kerana, akuinya ada yang menyifatkan cita-cita untuk membawa pulang trofi Anugerah Academy yang menjadi impian pemain industri perfileman dunia sebagai perkara mustahil untuk dicapai.

“Sangat mengecewakan mendengar keraguan sedemikian, terutama dari mereka yang sepatutnya memberi sokongan.

“Namun, saya sedar bahawa pendapat ini selalunya lebih mencerminkan had orang lain berbanding potensi saya sendiri,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Pada masa sama, pelakon yang memulakan kerjaya lakonan sekitar 2020 itu turut menyenaraikan pencapaiannya, termasuk kejayaan pada tahun 2022 apabila menjadi artis tempatan pertama yang menjalin kerjasama dengan jenama antarabangsa terkemuka.

Sedia banyak tawaran

Biarpun membuat sesi luahan panjang lebar menyelar sikap pihak lain, mungkin aktor tinggi lampai yang mengecap populariti menerusi drama rantaian Melur Untuk Firdaus itu terlupa kata-kata diluahkan sebelum menyebut trofi Oscar sahaja menjadi buruannya.

Dalam sesi temu bual drama terbarunya, Meerqeen mengulas pertanyaan mengenai pencalonan dalam satu anugerah apabila menyatakan sudah pun memperoleh banyak peluang dan tawaran sebelum memenangi trofi di acara pengiktirafan tersebut pada musim terdahulu.

Bahkan, aktor berusia 23 tahun itu mendedahkan hanya mengidamkan trofi Anugerah Academy yang disifatkan legit dan diperakui ramai.

“Saya hanya idamkan trofi Oscar, itu impian saya. Saya fikir anugerah itu sahaja yang paling ‘legit’. Mungkin kedengaran kelakar tetapi saya percaya kalau saya kerja keras, tiada yang mustahil,” ujarnya.

Barangkali kedengaran biasa-biasa, namun jika dia tidak memperlekehkan pengiktirafan tempatan dengan menyatakan hanya Oscar paling legit tentu hal ini mahupun angan-angan menggenggam trofi tidak menjadi bualan.

Usah remehkan anugerah tempatan

Aktor senior, Azhar Sulaiman turut menegur sikap segelintir pelakon yang memandang rendah dan meremehkan usaha serta kewujudan pelbagai platform dalam negara memantapkan industri seni tanah air menerusi penganjuran anugerah.

Katanya, tidak salah untuk bercita-cita tinggi tetapi jangan sesekali memperlekehkan usaha pihak yang mengelolakan acara pengiktirafan bagi menghargai kerja penggiat seni negara.

“Pelakon terutama pendatang baharu perlu meraikan pelbagai platform, ruang dan acara yang boleh bantu menaikkan lagi kerjaya mereka. Jangan perlekeh platform sedia ada,” ujarnya.

Tepuk dada, tanya selera. Hanya Meerqeen yang tahu tujuan berkata sedemikian atau mungkin lebih baik jika dia meminta penganjur jangan menyenaraikan namanya dalam mana-mana anugerah kerana pengiktirafan tempatan tidak legit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI