ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia seorang diri dipercayai sejak empat hari yang lalu di dalam bilik tidurnya di Jalan Pulau Semut, Solok Duku, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kematian wanita berusia 69 tahun itu dilaporkan oleh anak saudara lelakinya di Balai Polis Masjid Tanah kira-kira pukul 8.45 pagi.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati si mati tinggal seorang diri di rumah tersebut dan ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan beralaskan bantal, manakala separuh badannya ditutupi kain selimut.
“Kita percaya warga emas itu telah meninggal dunia sekitar tiga hingga empat hari berdasarkan keadaan fizikalnya yang mula membusuk,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, polis turut menjumpai sebilah gunting di sebelah kanan si mati, namun hasil bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Melaka tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.
“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka juga telah membuat siasatan lanjut dan menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 untuk membuat pencarian di tempat kejadian.
“Kita dimaklumkan si mati sebelum ini menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE