PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya Kerajaan meneliti hasil lawatan baginda ke China serta perkara-perkara yang telah dibincangkan.
Menerusi satu kenyataan, Sultan Ibrahim bertitah antara perkara yang dibincangkan dalam lawatan baginda ke China termasuklah
pendidikan, perdagangan, pelaburan serta pengangkutan dan kesalinghubungan.
“Banyak perkara telah saya bincangkan bersama Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang serta diterima baik oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.
“Hubungan baik antara Malaysia dan China berasaskan kepercayaan serta penghormatan yang membolehkan kerjasama erat dalam hampir semua sektor,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Titah Seri Paduka Baginda, kebangkitan China di persada antarabangsa dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini cukup menakjubkan.
“Negara mereka mempunyai contoh-contoh yang baik untuk kita teladani dalam usaha memulihkan negara selepas beberapa tahun kebelakangan ini yang menduga,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut memuji pendirian yang diambil China yang menyanggah tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Titah baginda, Malaysia senada dengan China dalam menyatakan solidariti terhadap isu keamanan sejagat di bumi Palestin.
Dalam kenyataan sama, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan China atas keistimewaan yang diberikan sewaktu anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Laksamana Johor menerima rawatan di negara itu.
“Kerajaan China telah memberikan pengecualian khas kepada anakanda saya untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di China walaupun Almarhum seorang warga asing. Saya akan sentiasa bersyukur atas perkara ini,” titah baginda.
Bersempena jubli emas perhubungan Malaysia-China, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhubungan kedua-dua negara terus subur dan erat demi manfaat bersama.
“Ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik bukan sahaja satu sorotan untuk diraikan, tetapi juga ruang untuk memperkukuhkan kerjasama ke arah masa depan yang lebih baik,” titah Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE