KUALA LUMPUR – Pemain skuad Bawah 19 Tahun (B-19) diingatkan supaya tidak ‘hanyut’ dengan kejayaan 2-1 ke atas Oman pada aksi pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan, semalam.
Sebaliknya pengurus pasukan, Datuk Mohd Joehari Ayub mahu setiap pemain harus memiliki sikap tidak berpuas hati dan dahagakan kejayaan kerana cabaran selepas ini pastinya lebih mencabar.
“Sudah pasti kemenangan itu memberikan kesan positif kepada seluruh pasukan, pemain pun gembira dengan kejayaan semalam dan mereka masih kekal berdisiplin untuk melaksanakan segala perancangan diatur oleh jurulatih (Juan Torres Garrido).
“Kami juga ingatkan pemain bahawa mereka tidak boleh terlalu terbuai dengan kemenangan ke atas Oman kerana kami masih ada perlawanan penting dan ini juga kumpulan yang sukar.
“Kemahuan untuk gembirakan peminat di tanah air sentiasa ada dalam diri setiap pemain. Paling penting sekarang adalah semua pemain berada dalam keadaan baik tanpa ada sebarang masalah kecederaan,” katanya.
Hanya juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik daripada 10 kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 yang akan dilangsungkan di China pada Februari tahun depan.
Malam esok, skuad muda negara bakal berdepan satu lagi tugasan penting menentang Korea Utara sebelum dijadualkan bertemu tuan rumah, Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE