PETALING JAYA – Tiga hari selepas ‘menghadiahkan’ ucapan khas buat Allahyarham Ashraf Sinclair sempena hari lahir, penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari kemudian merayakan sambutan ulang tahun kelahiran anak lelakinya, Noah Sinclair hari ini.
Bunga atau mesra disapa sebagai BCL, 41, berkongsi video sambutan hari lahir anaknya yang ke-14 itu dalam Instagram.
Difahamkan BCL yang baru selesai menghadiri acara festival muzik itu meluangkan masa membuat kejutan bersama kek buat anaknya.
“Balik dari Pestapora, dengan memakai pakaian sama terus beramai-ramai membuat kejutan hari jadi buat Noah.
“Saya tahu kamu bukan lagi anak kecil dan pastinya rasa terganggu lebih-lebih lagi ketika bersama kawan-kawan.
“Tetapi saya mahu kamu tahu yang saya sangat sayang pada kamu. Kami semua sayang pada kamu,” katanya.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian ramai rakan artis dan peminat.
Tidak terkecuali, penyanyi Yuna turut menitipkan ucapan selamat hari jadi buat anak saudaranya itu.
“Selamat hari jadi Noah,” kata Yuna di ruangan komen.
Pada masa sama, apa yang menarik perhatian khalayak apabila kek ulang tahun Noah kelihatan sama seperti kek dalam foto Ashraf yang dikongsikan BCL sebelum ini.
“Kek hari jadi Noah kelihatan sama dengan Ashraf.
“Bila tengok kek mereka nampak sama, kenapa aku pula jadi sedih.
“Selamat hari jadi Noah, Hanya selang tiga hari daripada hari jadi papa (nama panggilan Noah buat Ashraf). Semoga menjadi anak yang baik dan soleh.
“Lihat wajah BCL, selain kepenatan, dia juga sangat merindukan Ashraf,” antara komen netizen.
Terdahulu BCL kongsikan ucapan ulang tahun buat Ashraf di samping mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin bersama anak yatim.
BCL dan Ashraf yang berkahwin pada 2008 dikurniakan seorang anak lelaki, Noh Aidan Sinclair.
Ashraf bagaimanapun meninggal dunia ketika tidur akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Pada 3 Disember tahun lalu, BCL kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Tiko Aryawardhana yang merupakan ahli perniagaan. – KOSMO! ONLINE