JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus ‘menggegar’ peringkat antarabangsa terutama di pentas Asia apabila muncul kelab ketujuh terbaik di benua ini sekali gus mengatasi beberapa kelab ternama Jepun dan Korea Selatan.
Kejayaan itu turut menyaksikan juara Piala FA 2024 itu kekal berada dalam kelompok 10 kelab elit Asia dengan kedudukan pertama masih lagi menjadi milik pasukan gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal.
Menerusi perkongsian laman rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers (JST) di Facebook, skuad Harimau Selatan turut menjadi kelab nombor satu Asia Tenggara dengan mengatasi kelab seteru dari Thailand.
“Kelab bola sepak JDT kini berada di ranking ke-260 dunia, ketujuh di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 20 September 2024.
“Laman analisis bola sepak ini menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.
“Tidak ada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai ‘top’ 1,000 seluruh dunia,” kata kenyataan JDT itu.
Dua kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe di tangga ketiga dan keempat manakala kelab Korea Selatan, Ulsan HD yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon kini melengkapkan kedudukan ‘Top 5’.
Kelab terbaik dunia ketika ini secara statistik masih kekal menjadi milik Manchester City diikuti Real Madrid di kedudukan kedua dan Inter Milan di tempat ketiga.
Skuad Harimau Selatan sebelum masih segar dengan kejayaan mengikat pendahulu Liga Super China, Shanghai Port 2-2 pada aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Rabu lepas.