fbpx

GISBH: Bahan rampasan jadi bukti sokongan Muzakarah MKI – Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Bahan-bahan rampasan membabitkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan semasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datin Hakimah Mohd. Yusoff berkata, bahan-bahan rampasan yang boleh dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan itu diperoleh menerusi Op Global Fasa 4 yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jakim.

“Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISBH ini akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Hakimah berkata, Jakim amat menghargai kerjasama semua agensi terlibat khususnya PDRM dalam membantu pihaknya bagi melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut.

Kata beliau, penghargaan juga kepada pihak jabatan agama Islam negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada Jakim bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

“Jakim di bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI