SINGAPURA – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui jentera Mercedes semakin kehilangan ‘arah’ dan dijangka terus mengecewakan menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura pada malam ini.
Sebagai rekod, Hamilton gagal memberikan prestasi yang diharapkan dengan jentera hanya berada di tangga ke-11 pada sesi ujian bebas kedua (FP2) kelmarin dengan beberapa kelemahan ketara seperti kurang cengkaman telah dikenal pasti.
Menurut Hamilton, pelbagai usaha telah dibuat sebagai pemandu profesional untuk memastikan saingan kompetitif dapat diberikan, tetapi keupayaan jentera masih lagi ‘statik’ dan tidak mampu mencabar pasukan pesaing.
“Sukar untuk saya gambarkan betapa kecewa melihat jentera pasukan yang begitu lemah di atas litar. Secara jujur, ini adalah permulaan yang mencabar walaupun pasukan sudah berikan segalanya untuk memastikan kita mampu bersaing pada GP kali ini.
“Namun, semuanya nampak sukar dan saya jangka jika situasi ini berterusan, kemungkinan besar kita akan tewas dengan jurang yang besar pada perlumbaan sebenar nanti,” kata pelumba berusia 39 tahun itu.
Sementara itu, seorang lagi pelumba Mercedes, George Russell turut senada dengan rakan seniornya selain mendakwa jentera kali ini tidak pantas seperti kebiasaannya.
“Saya rasa apa yang berlaku ketika ini adalah rentetan daripada apa yang kita alami sejak 12 bulan lepas kerana jentera tidak begitu konsisten. Saya harap jurutera kami bekerja keras untuk mencari kelemahan agar dapat diperbaiki pada masa akan datang,” katanya. – AGENSI