fbpx

EPL: Banyak berita gembira selubungi Arteta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSENAL perlu meraih kemenangan berdepan City untuk membolehkan mereka merampas kedudukan takhta liga. - AFP

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mampu menghela nafas lega biarpun Arsenal gagal mencatat kemenangan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara selepas diikat Atalanta pada aksi kelmarin.

Menjelang pertemuan penting dalam saingan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City, Arteta memerlukan percaturan luar biasa ketika kemenangan pada aksi tersebut bakal menyaksikan The Gunners mampu merampas kedudukan pendahulu saingan.

Apa yang menggembirakan pengendali kelahiran Sepanyol itu, pasukannya tidak berdepan sebarang masalah kecederaan kecuali kekal kehilangan pemain tengah, Martin Odegaard yang masih belum pulih daripada kecederaan buku lali.

Selepas aksi menentang Atalanta, Arteta mampu menarik nafas lega apabila tidak ada seorang pun pemainnya yang mengalami sebarang masalah kerana kehilangan mana-mana pemain selepas ketiadaan Odegaard bakal menjadi malapetaka buat The Gunners.

Aksi sebelum ini juga menyaksikan Arteta memberikan minit permainan kepada beberapa pemain utama termasuk Bukayo Saka, Thomas Partey, Jurrien Timber dan Gabriel Jesus selain keserasian yang dipamerkan pemain baharu, Raheem Sterling mula menunjukkan petanda positif.

Arteta menganggap Sterling sudah mula dapat menyesuaikan diri apabila diberikan peluang bermain dan berjaya mencipta satu umpanan menarik buat Gabriel Martinelli ketika menentang Atalanta, namun gagal menghasilkan jaringan.

Perkara yang utama benar-benar membuatkan Arteta teruja berdepan perlawanan menentang City adalah prestasi dipamerkan oleh penjaga golnya, David Raya yang mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya ketika aksi tersebut.

Raya berjaya menafikan sepakan penalti Atalanta untuk memastikan Arsenal membawa pulang satu mata sekali gus menambah keyakinan buat Arteta untuk menghadapi The Citizens selepas mereka berjaya mengikat pasukan itu pada pertemuan terakhir di Etihad pada April lalu.

Selain itu, City yang kehilangan Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan juga menjadi berita yang menggembirakan buat Arteta kerana pemain itu memiliki kepakaran untuk mendominasi bahagian tengah terserlah sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN