fbpx

Buku Islam dan Pertanian didik masyarakat kepentingan pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Badli Shah (dua dari kiri) bersama Mohamad semasa Majlis Pelancaran Buku Islam dan Pertanian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

SERDANG – Sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Agrobank telah melancarkan sebuah buku yang bertajuk Islam dan Pertanian.

Penerbitan buku tersebut adalah kolaborasi antara Agrobank bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan ia akan diedarkan kepada agensi dan jabatan kerajaan serta akan di tempatkan di Perpustakaan Negara sebagai bahan bacaan umum.

Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, buku terbabit mengandungi 11 bab yang telah disusun dengan teliti oleh penyunting berpengalaman untuk memberi kefahaman yang holistik kepada pembaca.

Jelasnya, tujuan penerbitan buku itu sebagai rujukan untuk pelbagai lapisan masyarakat mengenai amalan pertanian dalam Islam dengan kandungan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

“Buku ini menekankan tentang pertanian dalam Islam kerana pertanian itu menjadi tanggungjawab pada umat Islam yang juga sebahagian daripada fardu kifayah.

“Ia turut menekankan aktiviti pertanian bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi juga ia sebagai ‘bank’ makanan untuk umat Islam pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Islam dan Pertanian Kolaborasi Strategik Agrobank dan IKIM yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi buku itu juga, Agrobank turut menekankan kepentingan sekuriti makanan dalam negara supaya tidak bergantung lagi kepada mana-mana pihak pada masa akan datang.

“Kita perlu menghasilkan makanan sendiri supaya kita bebas supaya apa yang berlaku pada masa akan datang kita mempunyai stok makanan mencukupi kepada rakyat.

“Apabila kita mempunyai sekuriti makanan sendiri, ia tidak akan membebankan rakyat sekiranya berlaku peperangan atau sekatan import makanan dari mana-mana pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI