PETALING JAYA – Pelakon sensasi, Abby Abadi berpendapat ‘Abang Bas’ yang ditahan gara-gara memuat naik video bersama budak sekolah tidak mempunyai niat buruk seperti yang digembar-gemburkan.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, berkongsi tentang pendapatnya pada ruangan komen hantaran yang dimuat naik usahawan terkenal, Datuk Seri Vida.
Dalam hantaran tersebut, Vida meluahkan rasa simpati dan kasihan terhadap ‘Abang Bas’ yang ditahan pihak berkuasa baru-baru ini.
Vida juga mendedahkan bahawa dia sendiri tidak tahu maksud sebenar perkataan ‘crush’.
“Datuk Seri Vida sependapat dengan saya. Biarlah orang nak kata apa pun. Saya yakin ‘Abang Bas’ tak berniat seperti yang digembar-‘gemburkan.
Cepat sangat sesetengah pihak itu berprasangka. Semoga Allah bantu dia selesaikan kes ini sebaiknya,” tulis Abby.
Sementara itu, netizen turut mempunyai pendapat masing-masing tentang isu ini termasuk ada yang simpati dengan nasib ‘Abang Bas’ dan ada juga yang tetap menentang perbuatannya.
Terdahulu pemandu bas atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Bas’ didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan. Namun, dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga ‘Abang Bas’ menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka.
Antara selebriti popular yang dilihat lantang bersuara menentang perbuatan ‘Abang Bas’ ialah Diana Danielle, Uyaina Arshad dan Caprice. – KOSMO! ONLINE