fbpx

Usah biarkan tanah terbiar tanpa ada tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir ketika menangguk udang harimau dalam sebuah kolam di Global Goodway, Sabak Bernam hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

SABAK BERNAM – Bancian Pertanian yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini telah mencapai 86.2 peratus dengan 1.02 juta kediaman pertanian di seluruh negara telah dilawati setakat semalam.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pihaknya berharap maklumat lapangan atau analisis awal dikeluarkan hujung tahun namun bergantung kepada maklum balas daripada agensi dan jabatan yang terlibat.

Katanya, antara perkara yang diteliti dalam bancian pertanian ini adalah penggunaan teknologi dan berdasarkannya apa ruang dan peluang dapat diaplikasi dalam melaksanakan program yang mampu meningkatkan produktiviti.

“Saya sempat lihat tanaman varieti kelapa. Ada sesetengah kelapa dipanggil ‘mustard coconut’ yang memerlukan antara tiga hingga empat tahun bagi penghasilan pertamanya.

“Namun, ada petani lain yang menggunakan penananam kelapa SDG yang hanya memakan lebih dua tahun untuk mendapatkan hasilnya. Malah, pengusahanya menyatakan penghasilan kelapa itu bagi penambahan benih dengan harganya adalah RM4 sebiji berbanding kelapa biasa yang harganya RM1 sebiji di ladang,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja di Global Goodway (Malaysia) Sdn. Bhd., hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan dapatan awal kita ini didapati kelemahan pertanian menunjukkan pengabaian tanah yang diwarisi tidak dimanfaatkan bagi penghasilan dalam sektor tersebut.

“Jangan dibiarkan terbiar. Ada saya dapat maklumat di lapangan terdapat mereka (pewaris tanah) mengambil masa membuat keputusan terhadap tanah mereka untuk dimajukan sebagai pertanian.

“Masyarakat harus mengetahui dan mengambil peluang dalam melaburkan wang mereka dalam sektor pertanian seperti sektor akuakultur dan tanaman yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi dengan teknik yang betul berbanding simpanan pasif dalam kadar tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, keperluan data pertanian dibuat dengan frekuensi lebih kerap iaitu bulanan dan suku tahunan.

“Kita telah setuju dalam mesyuarat Jawatankuasa Bancian Pertanian untuk bawa komitmen dengan agensi terlibat melakukan kajian dan susulan dari segi pengeluaran dan nilaian hasil pertanian.

“Ini memerlukan kerjasama erat sebab pertanian itu luas dengan ada tanaman, perternakan, penghutanan dan perikanan. Kalau boleh kita mahu dapatkan data yang sahih dan selaras dengan keadaan terkini di lapangan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI