KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menggalas misi pada Kejohanan Badminton Terbuka China selepas meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou sebentar tadi, pilihan ketujuh kejohanan itu menyingkirkan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin dengan kemenangan straight set 21-14, 24-22.
Sze Fei-Izzuddin membuktikan reputasi mereka sebagai salah satu beregu terbaik Malaysia apabila menampilkan aksi cukup kemas sepanjang perlawanan biarpun berdepan tentangan sengit pemain lawan.
Aksi set pertama menyaksikan kedua-dua beregu menampilkan corak permainan seimbang meskipun pada awalnya gandingan negara ketinggalan 7-10 sebelum kembali mengejar dan mendahului 11-10.
Malaysia yang memiliki kemampuan dari segi pukulan smash kencang menggunakan sepenuhnya kelebihan tersebut dan berjaya menjarakkan kedudukan 15-11, seterusnya menamatkan permainan menerusi kemenangan 21-14.
Bersambung set kedua, Fikri-Marthin yang menghuni ranking ke-88 dunia cuba memperkemaskan permainan dan menampilkan aksi lebih baik, namun masih belum mampu menghalang beregu negara daripada mendahului 11-10.
Perlawanan bertambah menarik apabila kedua-dua beregu saling bertukar servis selain perbezaan mata yang tidak begitu ketara sebelum pasangan Indonesia berada di depan 19-18 bagi memberi tekanan kepada Sze Fei-Izzuddin.
Bagaimanapun, juara Terbuka Jepun itu tidak mudah berputus asa apabila berjaya melakukan kebangkitan dan mengutip mata demi mata sebelum memastikan kemenangan mutlak 24-22 di set kedua.
“Hari ini kami turun dengan mentaliti tidak ada rugi apa-apa. Mereka menang ke atas kami sebelum ini, jadi tekanan berada di pihak mereka. Kami juga berkomunikasi dengan cukup baik di dalam gelanggang,” kata Sze Fei kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Menanti Sze Fei-Izzuddin di perlawanan akhir esok adalah pemenang antara beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dan satu lagi wakil negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang akan beraksi sebentar lagi.
Sebagai rekod, ini merupakan final pertama buat Sze Fei-Izzuddin dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 dengan pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah ketika memenangi Terbuka Jepun (Super 750) bulan lalu. – KOSMO! ONLINE