fbpx

Terbuka China: Ee Yi-Yew Sin kempunan ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE YI (kiri) dan Yew Sin tidak dapat memastikan pertembungan sesama sendiri di perlawanan akhir Terbuka China menentang Sze Fei-Izzuddin selepas tersingkir di separuh akhir. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Hasrat untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri di perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka China tidak kesampaian selepas beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tersingkir.

Pada aksi separuh akhir yang berlangung di Gimnasium Xincheng, Changzhou sebentar tadi, gandingan No.23 dunia itu terpaksa akur tewas 18-21, 11-21 kepada wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Turun menentang pilihan kelima, Ee Yi-Yew Sin diberi tekanan cukup tinggi seawal set pertama lagi apabila ketinggalan 1-5 selepas pemain lawan menerapkan aksi agresif menerusi pukulan-pukulan smash kencang.

Biarpun cuba memberi tentangan dengan beberapa kali merapatkan kedudukan, namun Ji Ting-Xiang Yu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menamatkan aksi set pertama menerusi kemenangan 21-18.

Bersambung set kedua, kemaraan beregu China itu seolah-olah sukar untuk disekat apabila melakukan serangan bertali arus ke arah Ee Yi-Yew Sin, sekali gus menyaksikan pasangan negara ketinggalan 6-14.

Walaupun berbekal semangat tidak berputus asa dan cuba untuk mengejar, namun ia masih belum cukup buat Ee Yi-Yew Sin menyekat kemaraan gandingan No.7 dunia itu ke perlawanan akhir apabila tewas 11-21.

Menanti Ji Ting-Xiang Yu di perlawanan akhir esok adalah satu lagi beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14, 24-22.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia pada perlawanan akhir esok adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan membuat perhitungan dengan pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI