PONTIAN – Seorang remaja lelaki menemui ajal apabila motosikal Yamaha Y15 ditunggangnya melanggar sisi kiri sebuah van yang membelot memasuki lorong secara tiba-tiba dalam kejadian di Kilometer 66.4 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat, Kampung Api-Api di sini, malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 malam itu, mangsa, Muhammad Faruq Muhammad Zaki, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala dan badan.
Manakala rakannya juga berusia 18 tahun yang membonceng motosikal terbabit mengalami kecederaan parah apabila kedua-dua mereka tercampak masuk ke dalam van jenis Renult Kanggo yang dilanggar mereka.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku apabila van tersebut dari arah Benut ke Pontian yang dipandu oleh seorang warga usia emas berusia 63 tiba-tiba membelok ke arah kanan bagi memasuki lorong.
“Dalam masa yang sama, motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki oleh mangsa dan rakannya dari arah bertentangan tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian pintu tengah kiri van tersebut.
“Mangsa dan pembonceng telah tercampak masuk ke dalam van. Penunggang maut dan pembonceng parah setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.