PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menafikan tuduhan pihaknya menyokong serta bersekongkol melindungi ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan turut mengamalkan ajaran sesat.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersama GISBH sebelum ini hanyalah atas kapasiti menyokong usaha meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam.
Menurut beliau, sebarang isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia dan lain-lain tidak diketahui PPIM sehinggalah perkara tersebut didedahkan baru-baru ini.
“Banyak perkara yang ditularkan di media sosial tidak tepat dan terdapat juga cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang berlangsung.
“PPIM menegaskan bahawa persatuan ini tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa hantaran di media sosial mengaitkan PPIM dengan GISBH yang dalam siasatan polis berhubung beberapa salah laku jenayah susulan operasi Op Global pada 11 September lalu.
Tambah Nadzim lagi, PPIM memfokuskan kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain.
Dalam pada itu, beliau juga berharap siasatan terperinci dijalankan agar pihak bersalah dihukum manakala kanak-kanak yang teraniaya dapat dilindungi dan dibantu untuk masa depan lebih baik.
Ujarnya lagi, pihak lain diminta berhenti memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan.
“PPIM bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan berhubung dakwaan sesetengah individu.
“PPIM juga memandang serius budaya buli siber di yang semakin melarat dan percaya pihak berkuasa juga sudah tidak dapat mengawalnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE