fbpx

Penubuhan angkatan tentera satu fardu kifayah – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin.

TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang merupakan Canselor UPSI.

Sultan Nazrin bertitah, penubuhan angkatan tentera ialah satu keperluan bagi sesebuah negara, satu kemestian yang tidak boleh ditiadakan.

“Angkatan tentera bukan sekadar keperluan yang tercetus daripada logika pemikiran insan, tetapi merupakan satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dipenuhi. Ayat 60 Surah Al-Anfal menjadi dalil tentang wajibnya mempersiapkan segala jenis kelengkapan alat senjata dan kekuatan perang untuk menghadapi musuh. Persediaan itu hendaklah sesuai dengan keadaan zaman dan setanding dengan peralatan senjata yang digunakan oleh pihak lawan.

“Memperkenalkan program pegawai kadet, pasukan latihan pegawai simpanan melalui jalinan kerjasama angkatan tentera dengan universiti awam merupakan program mempersiapkan sumber manusia terlatih dalam bidang ketenteraan, seiring dengan seruan Ilahi yang tersurat dan tersirat dalam ayat 60 Surah Al-Anfal.” titah baginda.

Titah baginda, Angkatan Tentera Malaysia telah melalui proses evolusi yang berterusan, bermula dari pasukan tambahan dalam tentera British kepada pasukan menentang insurgensi, seterusnya menjadi sebuah angkatan konvensional.

“Raja-Raja Melayu berperanan utama mencorakkan rupa bentuk angkatan tentera di bumi ini. Penyertaan anak watan dalam angkatan tentera di bumi ini, bermula dengan ketetapan Raja-Raja Melayu dalam Persidangan Durbar, disusuli dengan pengambilan dua puluh lima orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mei 1933.

“Rejimen ini kemudiannya berkembang, dan lima tahun kemudian menjadi batalion penuh pada 1 Januari 1938, dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah, semasa menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab seorang tentera, hendaklah dijadikan pegangan, prinsip Kepercayaan kepada Tuhan agar perjuangan tidak tersasar haluan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI