fbpx

Pegang teguh asas perjuangan parti, jangan angkuh – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berada di Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat bertajuk Reformasi dan Masa Depan Malaysia di sini, malam ini.- Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pejuang keadilan dan reformasi diingatkan untuk tidak melupakan asas penubuhan parti tersebut dan lalai dengan kuasa selepas menempuh segala kepayahan perjuangan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ahli parti itu tidak kira latar belakang perlu berpegang kepada asas penubuhan parti dan tidak berlaku angkuh atau sombong ketika berkuasa.

“Ingat pengalaman perih perjuangan yang dilakukan oleh para pejuang terdahulu untuk menegakkan keadilan dalam negara kita bagi menghentikan amalan sakau dan rasuah serta menyatukan rakyat pelbagai kaum.

“Perkuatkan jentera kita, bagitahu anak muda tentang sejarah kita. Jangan padamkan sejarah kerana sejarah mengajar kita untuk tidak melupakan asas perjuangan.
“Ketika ini kita ada kuasa, jangan lalai dengan kuasa. Pegang amanah yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat bertajuk Reformasi dan Masa Depan Malaysia di sini, malam ini.
Anwar juga mengingatkan untuk memperkukuhkan jentera parti dan beliau bertanggungjawab memastikan obor perjuangan terus menyala.

“Kita bangkit dengan segala usaha dan kepayahan. Untuk apa ribuan dipukul, dipenjara, dibelasah dan disiksa? (Semua itu) untuk memberi makna apa itu merdeka dan menghentikan amalam rasuah serta kesombongan yang berlaku.

“Mana-mana wakil rakyat atau pemimpin yang lemah dan lembap kita tukar.,” tegasnya.

Pada masa sama Anwar juga memberi bayangan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat dalam belanjwan Madani Oktober ini.

Terdahulu, Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat bertajuk Reformasi dan Masa Depan Malaysia mengimbau segala perit jerih yang dilalui oleh Anwar bersama keluarga dan penyokongnya sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI