fbpx

Op Global: Polis tahan 155 lagi suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang yang dirampas dalam Op Global Fasa 4 hari ini

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 155 orang suspek melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita di 82 premis milik GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dalam Op Global Fasa 4 hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan itu dibuat susulan serbuan di premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, Ma’ahad dan rumah persendirian.

Beliau berkata, operasi itu tertumpu di semua negeri di Semenanjung Malaysia bagi mengesan saki-baki ahli yang terlibat dengan GISBH.

“Operasi Fasa 4 ini melibatkan kekuatan keseluruhan sebanyak 3,801 sumber manusia meliputi PDRM seramai 2,528 pegawai dan aggota serta 1,273 kakitangan agensi kerajaan yang lain antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Razarudin berkata, PDRM bersama Jakim turut berjaya membuat beberapa rampasan ketika operasi dijalankan termasuk risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat.

“Seramai 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

“Melalui operasi yang dijalankan juga, PDRM mendapati beberapa premis yang diserbu telah kosong kerana dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta untuk tampil membuat laporan bagi melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI