fbpx

Kes keracunan makanan meningkat 73 peratus di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kasemani (dua dari kanan) melawat salah sebuah reruai yang terdapat di program Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 33 episod kes keracuhan makanan direkodkan berlaku di Terengganu sejak awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia peningkatan lebih 73 peratus berbanding 19 episod kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Antara sebab berlakukan kes keracunan makanan tersebut ialah penyimpanan bahan mentah yang tidak selamat, pengendalian makanan tidak bersih dan tempoh penyimpanan melebih tarikh luput.

“Selain itu, makanan yang terdedah atau tidak ditutup sempurna dan masakan yang tidak dimasak sepenuhnya juga menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan itu,” katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Terengganu di sini hari ini.

Kasemani berkata, bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, penyedia perlu lebih berhati-hati dengan mengutamakan sistem keselamatan makanan.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga akan meningkatkan pemantauan di premis makanan berisiko termasuk dewan makan sekolah berasrama penuh di negeri ini.

“JKNT sentiasa mengambil inisiatif membantu pengusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dengan menawarkan skim pensijilan menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

“Antaranya, Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI