PENGENDALI skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Juan Torres Garrido beri cabaran buat pemainnya untuk cuba cipta kejutan pada kelayakan Piala Asia B-20 apabila bertemu Oman pada malam ini.
Walaupun mempertaruhkan pemain lebih muda berbanding pencabar lain, Garrido tetap percaya segala persiapan sudah dilakukan dengan baik untuk menutup segala kelemahan pasukan.
“Kami berdepan kesukaran kerana ada pemain kami empat tahun lebih muda daripada pasukan lawan. Perbezaan ini pastinya beri cabaran tersendiri terutamanya untuk berdepan pemain yang lebih berpengalaman.
“Saya fikir dengan persiapan yang kami lakukan, kami anggap pemain kami sudah bersedia untuk berdepan cabaran selepas ini,” katanya.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan E bersama Oman, Korea Utara, Sri Lanka dan tuan rumah, Tajikistan.
Sebelum ini, skuad B-19 negara sudah pun mengharungi tiga aksi persahabatan di China, menentang skuad B-21 Uzbekistan, China dan Vietnam.
Sepanjang tiga perlawanan itu, skuad muda negara tewas 0-1 kepada Uzbekistan, 0-1 kepada China dan tunduk 1-2 di tangan Vietnam.
“Setiap perlawanan akan menjanjikan cabaran tersendiri dan kami akan rangka strategi mengikut lawan yang bakal dihadapi. Fokus kami adalah kekal fleksibel dan bersedia untuk berdepan sebarang situasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE