KUALA LUMPUR – Itu hak saya nak senaraikan top 10 atau top 9.”
Demikian respons penyampai radio, Tyzo berhubung tindakannya yang ‘memadam’ foto DJ Lin dalam senarai Top 10 kategori penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) dalam media sosialnya baru-baru ini.
Menurut Tyzo atau nama penuhnya Tuah Zoqarnain Idris, 49, perkara tersebut dilakukan juga disebabkan individu berkenaan didakwa pernah cuba menjatuhkan kariernya sebelum ini.
Rasa-rasanya tidak perlu untuk ‘menggambarkan’ seseorang yang pernah menutup periuk nasi saya.”
“Itu sahaja jawapan saya. Mungkin bagi sesetengah orang nampak tindakan itu sebagai tidak profesional,” katanya baru-baru ini.
Tambahnya yang kini penyampai radio IKIMfm, dia berhak meletak atau memadam foto mana-mana pihak dalam senarai tersebut.
“Namun, tidak salah untuk saya enggan meletakkan sesiapa (gambar DJ Lin). Sebenarnya sebelum itu saya ada letak sahaja fotonya.
“Memang itu senarai top 10 penyampai radio popular manakala saya letakkan top 9. Itu hak saya,” ujarnya.
Baru-baru ini, Tyzo yang juga bekas penyampai radio Suria FM mengundang perhatian ramai apabila memadam foto DJ Lin daripada senarai 10 calon kategori penyampai radio popular yang pernah dimenanginya tahun lalu.
Terdahulu, sekitar Januari lalu, Suria FM mengumumkan penamatan khidmat Tyzo sebagai penyampai segmen Suria Petang.
DJ Lin memberi alasan, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Tyzo menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan kekecewaan tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.
Dia juga turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar selepas meraih anugerah Penyampai Radio Popular pada ABP ke-35 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE