fbpx

Ibu bertarung nyawa keluarkan empat anak, rumah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusman Harun menunjukkan ruang empat anaknya keluar untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Che Bema, Sungai Layar dekat Sungai Petani terbakar, malam tadi.

SUNGAI PETANI – Seorang ibu nekad memecahkan cermin bahagian atas pintu jeriji sebelum menyelamatkan empat anaknya selepas rumahnya di Kampung Che Bema, Sungai Layar di sini terbakar malam tadi.

Menurut Hafizah Mohammad, 34, dia terpaksa berbuat demikian kerana tiada pilihan selepas gagal mencari kunci untuk membuka pintu.

Menurut peniaga mihun sup itu, kejadian berlaku pada pukul 11 malam tadi ketika dia bersama empat anak berusia 11, 7, 4, dan 3, sedang tidur di bilik utama.

“Saya terhidu bau benda terbakar sebelum bingkas bangun dan berlari ke bilik yang terletak bersebelahan bilik utama. Sewaktu membuka pintu saya nampak api marak membakar perabot dan perkakasan rumah.

“Dalam keadaan asap mula memenuhi rumah, saya berlari semula ke dalam bilik utama dan segera mengejutkan anak-anak. Saya memecahkan cermin bahagian atas pintu jeriji sebelum mengangkat seorang demi seorang keluar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian meminta anak-anaknya memaklumkan kejadian tersebut kepada jiran.

“Dalam keadaan hampir pengsan kerana terhidu asap, saya cuba pecahkan pintu jeriji tetapi tidak berjaya sebelum jiran-jiran datang membantu dan membawa saya keluar.

“Saya bernasib baik kerana selepas itu api mula marak membakar keseluruhan rumah. Kami kini tinggal sehelai sepinggang dan menumpang di rumah mentua yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI