PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, empat negeri tersebut adalah Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap).
“Keadaan ini juga melibatkan Sarawak di Kuching (Kuching), Sri Aman (Sri Aman) dan Sarikei (Pakan dan Julau) dan Sabah di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan),” katanya.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE