fbpx

K2

Guna bot angin ‘trolling’ ikan tenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan tenggiri bersaiz besar yang berjaya ditawan Hafiz.

AKTIVITI ‘trolling’ ikan bukanlah satu kaedah asing dalam aktiviti memancing di negara ini.

Kebiasaannya, kaedah tersebut kerap digunakan oleh kaki pancing dalam memburu ikan pemangsa yang bermain di kawasan permukaan air.

Antara spesies ikan buruan kaki pancing yang gemar menggunakan kaedah ‘trolling’ atau juga disebut pancing tunda termasuklah tuna, alu-alu, gerpoh, marlin dan tenggiri.

Salah seorang kaki pancing yang gemar menggunakan kaedah tersebut ialah Abdul Hafiz Ab. Rahman, 34, yang berasal dari Selangor.

Dia yang kini tinggal di Kuantan, Pahang atas faktor kerjaya sejak 13 tahun lalu berkata, kedudukan bandar itu yang terletak berhampiran laut telah memberi kelebihan kepadanya untuk melunaskan hobi memancingnya.

“Saya memang sudah lama memancing sejak dari kecil dan selepas berpindah ke Kuantan, saya mula meminati aktiviti memancing dengan menaiki kayak.

“Kemudian, pada tahun 2020, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing menggunakan bot angin.

“Sejak dari itulah, saya belajar menggunakan kaedah ‘trolling’ kerana ia lebih mudah dilakukan memandangkan bot angin dilengkapi dengan enjin, berbanding kayak yang menggunakan tenaga kaki dan hanya bergerak perlahan,” katanya.

Hafiz memberitahu, kebiasaannya dia akan memancing di sekitar Kuantan terutama di perairan Pantai Balok dan Pelabuhan Kuantan.

Ini kerana jelasnya, kawasan perairan tersebut kerap menjadi kawasan ‘permainan’ beberapa spesies ikan pelagik (pelagic) seperti tenggiri, talang dan tuna. Ikan pelagic merujuk kepada ikan jenis pemangsa yang selalunya berenang di permukaan laut.

Malah katanya, disebabkan kawasan tersebut banyak didiami spesies pelagik, maka boleh dikatakan dia akan ke laut hampir setiap hujung minggu bagi memburu ikan berkenaan dengan menaiki bot angin.

Hafiz berpuas hati dengan hasil tangkapannya menggunakan bot angin.

“Kaedah ‘trolling’ menggunakan bot angin boleh dikatakan sama saja dengan menggunakan bot yang lebih besar. Kebiasaannya, saya akan memandu bot pada kelajuan antara 10 hingga 12 knot ketika menunda.

“Tali pancing pula akan dilepaskan sejauh antara 80 meter hingga 100 meter, bergantung kepada kawasan dan kedalaman air laut,” katanya.

Hafiz memberitahu biasanya dia akan menggunakan gewang rapala Magnum CD bersaiz 14 sentimeter.

Gewang tersebut dipadankan batang joran yang lebih keras untuk aksi ‘heavy’, dan dipasang dengan tali utama 60 paun dan perambut dawai yang mampu menahan kekuatan tekanan sehingga 30 kilogram.

Jelasnya lagi, jika cuaca baik dan kena pada musim ikan masuk ke perairan cetek, ikan spesies pelagic seperti tenggiri tidak menunggu lama untuk menyambar gewang yang ditunda.

“Jika kena pada musimnya, selalunya dalam tempoh lima minit selepas gewang ditunda, pasti akan ada ikan yang menyambar mata kail terutamanya tenggiri kerana ikan itu boleh berenang dengan laju untuk mengejar ‘mangsa’.

“Saya pernah menaikkan hampir 10 ekor ikan tenggiri bersaiz lebih 3 kilogram (kg) setiap satu selain beberapa ikan tongkol dan beberapa ekor ikan alu-alu dalam tempoh kurang dari enam jam memancing.

“Namun, ada juga keadaan di mana saya hanya berjaya menaikkan seekor dua ikan tenggiri saja kerana mungkin ketika itu keadaan air tidak begitu baik,” ujarnya.

Bercakap mengenai hasil tangkapan, Hafiz berkata, kebiasaannya dia akan menjualnya kepada peraih dan pelanggan sedia ada yang sudah menempah lebih awal.

Ini kerana ikan yang dipancing mempunyai harga yang lebih tinggi di pasaran memandangkan lebih segar dan dinaikkan ke darat pada hari sama.

Malah katanya, jika ingin dijadikan hidangan, dia akan memilih ikan yang bersaiz kecil untuk dibawa balik, manakala yang lebih besar akan dijual.

Ditanya mengenai ikan terbesar yang diperoleh menggunakan kaedah ‘trolling’ dengan bot angin, dia memberitahu setakat ini tangkapan ikan layaran seberat 20kg dan ikan tenggiri seberat hampir 14kg menjadi rekod peribadinya.

“Ikan layaran tersebut saya lepaskan semula kerana merupakan spesies terlindung, selain bagi memberi peluang kepadanya untuk terus membiak di perairan negeri Pahang.

“Manakala ikan tenggiri bersaiz besar tersebut saya jual kepada peraih yang sudah sedia menunggu di darat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI