LONDON – Bintang baharu Chelsea, Jadon Sancho berharap mampu memberikan impak lebih besar buat pasukan termasuk pada pertemuan dengan West Ham United di Stadium London malam ini.
Sancho juga percaya kualiti yang ada dalam pasukan sedikit sebanyak akan membantunya meningkatkan prestasi dan perlu berterima kasih kepada semua orang di Stamford Bridge.
“Saya melalui debut yang hebat di Chelsea. Saya sudah bekerja keras untuk mendapatkan semua ini dan sudah pasti saya gembira apabila diberikan peluang seperti ini.
“Saya perlu berterima kasih kepada semua kakitangan kelab dan rakan sepasukan. Sejak hari pertama, saya rasa mereka mengalu-alukan kehadiran saya dan membuatkan saya rasa selesa,” katanya.
Pada penampilan pertamanya bersama The Blues sebelum ini, Sancho yang dimasukan sebagai pemain gantian muncul pencetus kepada jaringan Christopher Nkunku sekaligus memastikan kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth.
Kehadiran pemain kelahiran Camberwell, England itu juga pastinya menambahkan pilihan buat pengurus pasukan, Enzo Maresca di jentera serangan.
“Kami berada dalam pasukan besar dan memiliki pemain hebat. Persaingan di setiap posisi cukup sengit dan sekarang kami hanya perlu bekerja keras dalam setiap sesi latihan serta perlawanan,” kata Nkunku. – AGENSI