fbpx

Empat premis GISBH diserbu di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa JHEAIPP ketika menjalankan operasi di beberapa premis dipercayai berkaitan GISBH di Seberang Perai, hari ini.

SEBERANG PERAI – Empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (Global Ikhwan Sdn. Bhd.) di sekitar Seberang Perai, di sini diserbu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohammad Abdul Hamid berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, keempat-empat premis yang diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) Kubang Semang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart di Bandar Perda.

“Hasil serbuan ke lokasi terbabit, pihak JHEAIPP telah merampas enam buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan.

“Kesalahan ini berkait dengan peruntukan Seksyen 13(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian.

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang meneliti semua bukti yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku yang melibatkan premis atau operasi GISB.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti yang sahih. Kami tidak akan membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam penyebaran maklumat yang tidak tepat atau fitnah yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

“Kami juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa isu ini bukan hanya melibatkan entiti korporat, tetapi ia juga menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang dijunjung.

“Oleh itu, penting bagi semua pihak untuk mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan integriti. Kita akan terus memantau perkembangan siasatan ini dengan teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan saksama,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di pasar raya Ikhwan Mart di Bayan Lepas mendapati premis berkenaan dipercayai sudah tidak beroperasi sejak tiga hari lalu.

Difahamkan, ini selepas pembongkaran aktiviti dalam GISBH termasuk penahanan individu termasuk pemimpin utamanya.

Tinjauan pada petang ini mendapati tiada langsung kelibat pekerja yang dipercayai tinggal di kediaman atas premis dua tingkat itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI