fbpx

Banjir Kedah: PM umum bantuan RM13 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra dengan sebahagian mangsa banjir ketika melawat PPS SMKA Kedah di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM13 juta sebagai bantuan banjir di Kedah termasuk sumbangan kepada mangsa, pembersihan kawasan terjejas dan pembaikan infrastruktur.

Kata beliau, peruntukan RM10 juta itu adalah sumbangan kepada mangsa terjejas dan kerja-kerja pembersihan di seluruh Kedah, manakala RM3 juta khas untuk pembaikan infrastruktur pasca banjir di daerah Kota Setar.

“Di Kota Setar peruntukan sebanyak RM3 juta, manakala bagi keseluruhan negeri Kedah kita memperuntukkan RM10 juta untuk pastikan selepas banjir sekiranya ada apa-apa kerosakan atau ganti rugi yang munasabah.

“Saya minta Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri menyelaraskan hal ini supaya disegerakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, di sini hari ini.

Beliau turut melawat mangsa banjir di dua lagi PPS iaitu di Stadium Sultan Abdul Halim dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini.

Kata Anwar, kerajaan pusat menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir menerusi Nadma dan RM1,000 oleh ICU.

“Itu sudah sampaikan sekarang ini dan saya dengar Menteri Besar (Kedah) juga sebut negeri pun tambah.

“Tetapi yang penting adalah jika ada kerugian akibat (kematian) binatang ternakan dan kemusnahan hasil tanaman, yang mana itu harus kita teliti dan cuba ringankan beban ditanggung mangsa banjir,” ujarnya.

Beliau pada masa sama berkata, lawatannya pada hari ini juga adalah memastikan semua bantuan disalurkan agensi berkaitan dengan segera.

“Tujuan saya datang antara lain untuk memastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat disediakan termasuk melibatkan infrastruktur dan juga rakyat termasuk pesawah padi disegerakan,” jelasnya.

Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan penyediaan keperluan kepada semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

“Saya puas hati dan Alhamdulillah kerana Kedah sudah biasa dengan pengalaman banjir ini. Saya harap (mangsa) bersabar dan saya tanya juga mutu makanan dan nampaknya ia dapat disediakan dengan baik iaitu empat kali sehari,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga akan terus memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan banjir pada masa depan dapat dikurangkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI