GEORGE TOWN – Isu solat Jumaat tidak sah yang berlaku di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara di sini pada 13 September lalu seharusnya dijadikan iktibar oleh semua umat Islam dan tidak perlu disensasikan.
Pengerusi Jawatankuasanya, Azrul Abdul Halim berkata, perkara tersebut telahpun dirujuk ke Pejabat Agama Barat Daya dan Mufti Negeri Pulau Pinang dan ia diputuskan tidak sah pada Khamis lalu.
“Kami sudah pun mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut termasuk permohonan maaf menerusi media sosial sebelum solat Jumaat semalam.
“Ini kesilapan yang tidak disengajakan dan perkara ini menjadi iktibar untuk kita semua sekali gus mengambil berat tentang hukum dan syarat solat Jumaat,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azrul memberitahu, pihaknya menyedari kejadian itu setelah ia dimaklumkan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu.
“Kami kemudiannya meneliti perkara itu menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan terus merujuknya ke Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti.
“Semalam, kebanyakan jemaah sudah qado solat Zuhur selepas selesai menunaikan solat Jumaat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan solat Jumaat yang diadakan di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara di sini pada 13 September lalu diputuskan tidak sah berikutan khatib dikatakan terlupa duduk antara dua khutbah.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya menasihatkan supaya jemaah yang menunaikan solat Jumaat tersebut mengulangi atau qada solat zuhur.
“Kita menggunakan pandangan mazhab Syafie. Mereka (jemaah) tidak berdosa sebab perkara yang berlaku tidak disengajakan. Cuma kita nasihat supaya qada solat zuhur.
“Kita harap perkara ini tidak disensasikan sebab benda sudah berlaku. Kesilapan boleh berlaku di mana-mana cuba kita kena ambilnya sebagai iktibar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE