PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Republik Rakyat China, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Baginda, majlis berlangsung di China World Summit Wing Hotel, Beijing, dihadiri kira-kira 300 rakyat Malaysia yang terdiri daripada warga Kedutaan Malaysia di China, siswazah serta pemastautin.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong telah disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, Datuk Norman Muhamad.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Pengiring, Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan majlis penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sebagai ‘Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim’.
Penamaan itu bersempena ulang tahun ke-50 perhubungan diplomatik Malaysia dan China.
BFSU merupakan universiti pertama menawarkan kursus Bahasa Melayu di China pada tahun 1962, dengan mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai perintis.
Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU adalah Kursi Akademik keempat yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di samping Kursi Pengajian Melayu di negara lain.
Antaranya seperti Ohio University USA, Leiden University Belanda, Victoria University New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke China bagi memulakan lawatan negara selama empat bermula hari Khamis.
Lawatan negara Seri Paduka Baginda mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun. – KOSMO! ONLINE