PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui keputusan seri 1-1 yang dicatat pasukan ketika bertemu Muangthong United sebagai permulaan yang positif bagi kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) kali ini.
Kata Nidzam, bukan mudah untuk pasukan menyesuaikan diri untuk bersaing di peringkat tertinggi selepas hampir lapan tahun tidak beraksi di pentas Asia.
“Saya sangat gembira apabila kita berjaya mempamerkan corak permainan menarik untuk mencuri satu mata berharga. Ini bukanlah satu aksi yang mudah terutama selepas lapan tahun tidak beraksi di Asia.
“Pujian juga wajar diberikan kepada Muangthong yang berjaya memberikan tentangan sengit, tetapi secara keseluruhan, saya rasa ini adalah permulaan yang baik buat pasukan.
“Apa yang pasti, saya rasa kita kena cuba konsisten untuk bersaing di pentas Asia setiap tahun untuk memastikan pasukan menjadi salah kelab terbaik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi di Stadium Rajamangala itu, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol menerusi ledakan Ronnie Fernandez tetapi pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil penyudah Purachet Thodsanit.
Sementara itu, Fernandez anggap rakan-rakan sepasukan sudah memberi sepenuh tenaga di atas padang untuk bersaing sama hebat dengan skuad The Kirin.
“Ini adalah perlawanan yang istimewa buat pasukan. Secara jujur, satu mata sudah cukup baik ketika bermain di tempat lawan.
“Namun, masih banyak ruang untuk diperbaiki dan sebagai penyerang, saya gembira dapat menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan meraih satu mata,” katanya.