LUMUT – Kira-kira 430,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah menamatkan pengajian di institut pendidikan tinggi (IPT), dikesan tidak pernah membayar pinjaman mereka dengan jumlah terkumpul sehingga kini mencecah RM6 bilion.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, mendedahkan ada kalangan mereka yang telah menamatkan pengajian sejak berpuluh tahun lalu, tetapi tidak pernah membayar kembali pinjaman tersebut walau sesen pun dengan jumlah itu sentiasa meningkat setiap tahun.
Sehubungan itu, tegas beliau, pihak PTPTN akan mengambil tindakan susulan terhadap mereka dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang bersesuaian terhadap peminjam terlibat.
Jelasnya, kementerian tersebut telah membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kerajaan termasuk dalam mesyuarat Kabinet mengenai tindakan susulan tersebut dan akan diumumkan oleh pihak PTPTN nanti.
“Pendekatan kita bagaimanapun tetap secara berhemah dan peminjam juga perlu ada tanggungjawab moral untuk membayar hutang mereka.
“Kita memahami (jika mereka susah), (jadi) minta mereka datang (ke pejabat PTPTN) untuk menceritakan apa masalah, keadaan dan kesusahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN peringkat daerah Manjung di Seri Manjung, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE