KLUANG – Setelah hampir 21 tahun menanti untuk memiliki geran hak milik tanah, seramai 164 penduduk Taman Idaman menarik nafas lega apabila impian mereka tercapai apabila menerima geran dalam satu majlis di Balai Raya Kampung Bentong Luar di sini semalam.
Seorang penerima, Sapiah Mohd Yusuf, 78, berkata, penyerahan geran hak milik tanah berkeluasan 463.6994 meter persegi itu menamatkan penantiannya selama dua dekad tahun selepas menduduki kediaman yang terletak kira-kira 500 meter dari pusat bandar Kluang itu.
Sapiah yang tinggal bersama seorang anak, menantu serta seorang cucunya itu amat bersyukur dengan pemberian geran hak milik oleh Kerajaan Negeri Johor ini.
“Apa yang dapat dipesan kepada anak-anak adalah agar menjadikan kediaman sebagai harta pusaka keluarga dan jangan sesekali dijual kepada mana-mana orang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan geran hak milik tanah kepada 164 penduduk di Taman Idaman di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, pada asalnya permohonan dilakukan oleh 183 penduduk namun 19 orang daripadanya gagal dikesan atau tidak dapat melengkapkan dokumen termasuk seorang tidak dapat dihubungi melalui alamat dan nombor telefon diberikan.
Katanya, Taman Idaman merupakan satu kependudukan berkeluasan 22.96 ekar dan adalah berstatus tanah rizab Melayu yang dibangunkan melalui projek penswastaan sebagaimana perjanjian dengan Kerajaan Negeri Johor pada Oktober 1994. – KOSMO! ONLINE