KLANG – Beberapa kes berkaitan kesalahan melanggar syarat nyata guna tanah di sekitar Teluk Gong, Pelabuhan Klang di sini, pernah dikesan berlaku sebelum ini.
Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata, kawasan itu meliputi tanah pertanian dan perindustrian sama ada milik individu atau kerajaan.
Menurut beliau, pemerhatian pihaknya mendapati wujud pemilik tanah yang melanggar syarat mengikut akta yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, ada pemilik tanah yang berstatus pertanian namun membangunkan kilang, gudang atau perindustrian.
“Bagi kes itu, kita akan menyerahkan notis supaya hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi proses pemulihan tanah berkenaan. Jika gagal, tindakan sitaan akan dilakukan,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat Satu Tahun Pelaksanaan e-Tanah di Kompleks PDT Klang di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 40,000 penduduk Telok Gong terpaksa menghidu bau busuk setiap hari sejak sejak 10 tahun lalu susulan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam. – KOSMO! ONLINE