KUALA PILAH – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan isterinya di Felda Lui Selatan, Jempol pada Isnin lalu.
Tertuduh, Zainal Ibrahim, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa berusia 36 tahun pada pukul 2 petang di ruang tamu sebuah rumah di Felda Lui Selatan, 16 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati pengadu dan keluarganya sehingga kes selesai Sebutan semula kes ditetapkan 15 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE