BANGKOK – Seorang wanita berusia 64 tahun di Samut Prakan, Thailand nyaris maut apabila dibelit seekor ular sawa gergasi selama dua jam, lapor saluran berita CNN semalam.
Wanita dikenali sebagai Arom itu sedang mencuci pinggan mangkuk di rumahnya, sebelum merasakan beberapa gigitan di bahagian kaki.
“Ular ini datang dan terus menggigit saya. Ia kemudian membelit saya menyebabkan saya terjatuh ke tanah,” kata Arom.
Pegawai polis tempatan, Anursorn Wongmalee berkata, mangsa cuba membebaskan dirinya daripada belitan yang kuat selama dua jam tetapi gagal.
“Semasa kejadian, Arom menjerit meminta tolong sehingga didengari oleh salah seorang jirannya. Jiran berkenaan kemudian bergegas menghubungi polis.
“Kami terkejut melihat mangsa dibelit di atas lantai dengan reptilia berkenaan. Ular ini sangat besar,” kata Anursorn.
Rakaman yang dikeluarkan oleh polis memaparkan Arom duduk di atas lantai di sebuah bilik yang gelap dengan seekor ular sawa yang membelit pinggangnya.
Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membebaskan mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Ular itu melarikan diri dan kami tidak dapat menangkapnya,” tambahnya. – AGENSI