SEREMBAN – Seorang wanita cedera selepas kereta yang dipandunya melanggar bongkah batu yang jatuh ke jalan dari sebuah treler yang bergerak dalam kejadian di Jalan Mambau-Seremban2, Seremban pagi tadi.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.28 pagi tadi itu turut menyebabkan kereta dipandu berusia 31 tahun itu terbakar dan musnah 100 peratus.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori membawa longkang konkrit dan dua buah kereta. Kereta jenis Proton Saga terbakar dan terdapat mangsa wanita yang cedera di tangan.
“Sebuah lagi kereta iaitu Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun turut mengalami kerosakan selepas terkena jatuhan bongkah konkrit itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, kebakaran kereta itu dapat dikawal kemudiannya kira-kira pukul 7.43 pagi melibatkan 12 orang anggota bomba. – KOSMO! ONLINE