PETALING JAYA – Pengusaha sebuah kedai makan di Alor Setar, Kedah telah mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma kepada mangsa banjir di sekitar kawasannya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, kedai makan yang dikenali sebagai Warung Pak Din One Dollar yang terletak di Kampung Suka Menanti itu menyediakan menu nasi putih bersama ikan goreng dan diberikan secara percuma kepada mangsa banjir semalam.
Lebih menghibakan, pengusaha warung tersebut menyediakan makanan percuma itu ketika premisnya juga masih digenangi air banjir.
“Rezeki kita kongsi bersama, selesai petang tadi (semalam), esok pula kita buat, percuma sahaja,”tulisnya pengusaha itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan pengusaha kedai makan itu dan mereka mendoakan supaya perniagaannya bertambah maju.
“Alhamdulillah, dalam keadaan sekarang, semua tengah terkesan termasuk pemilik kedai Pak Din One Dollar ini.
“Semoga memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan Allah permudahkan urusan semua mangsa-mangsa yang terjejas. Ya Allah, kau mewahkan,murahkan dan perbanyakkan lagi rezeki kepada hambamu ini,”doa Kak Mas.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Sazalina Senu.
“Semoga Allah limpahkan rezeki Pak Din sekeluarga dan kesihatan yang baik buat Pak Din,”katanya.-KOSMO! ONLINE