fbpx

[VIDEO] Dua kenderaan Malbatt diserang di Lebanon, 10 pegawai, anggota selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman memaparkan dua kenderaan Malbatt 850-11 yang diatur gerak dalam misi Pasukan Interim UNIFIL di Lubnan terbabit insiden serangan oleh sekumpulan orang awam, kelmarin.

PETALING JAYA – Dua kenderaan Batalion Malaysia (Malbatt 850-11) yang diatur gerak dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lebanon terbabit insiden serangan oleh sekumpulan orang awam, kelmarin.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).

Menurut kenyataan itu, insiden berlaku ketika dua kenderaan ‘Fitted For Radio’ (FFR) Malbatt 850-11 yang dinaiki tiga pegawai dan tujuh anggota dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah sebaik selesai melaksanakan penugasan di Kem Shama.

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa. Ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba di kedua-dua arah.

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan
kedua-dua buah kenderaan Malbatt. Hampir 30 orang awam kemudiannya membaling batu serta memancitkan kesemua tayar kenderaan menggunakan senjata tajam,” katanya.

Dalam kenyataan sama turut menjelaskan, bagi mengelak kejadian lebih buruk, ketua pergerakan mengarahkan kenderaan untuk berhenti di tepi jalan selamat dan kekal berada dalam kenderaan sehingga bantuan tiba.

Kata kenyataan itu, Lebanon Armed Forces (LAF) tiba dilokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah.

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit. Bagaimanapun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan.

“Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI