PUCHONG – Serangan rejim zionis menggunakan letupan alat kelui yang meragut banyak nyawa dan mencederakan beribu-ribu orang di Lebanon disifatkan paling tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia melalui Kementerian Luar telah menyatakan bantahan keras terhadap serangan tersebut.
“Kenyataan telah dikeluarkan oleh Kementerian Luar mengutuk serangan biadab dari Israel menggunakan ‘pager’ yang bermakna seluruh rakyat (Lebanon) yang memakainya terkesan.
“Paling tidak berperikemanusiaan. Ia (mangsa) bukan pasukan tentera dan sebagainya, (tetapi) wanita, anak-anak. Jadi kita telah bantah keras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan serangan didakwa didalangi rejim Zionis yang menyasarkan kumpulan pejuang Hizbollah mencederakan beribu-ribu orang dan meragut beberapa nyawa.
Serangan itu berlaku apabila alat kelui atau ‘pager’ meletup secara serentak di seluruh Lebanon.
Menurut CNN, letupan itu adalah hasil operasi bersama antara perkhidmatan perisikan Israel, Mossad dan tentera Rejim Zionis.
Menteri Kesihatan Lebanon, Firass Abiad dipetik berkata, letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan dan mencederakan 2,800 yang lain. – KOSMO! ONLINE