KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh belum berhasrat untuk berundur selain menyifatkan situasi tersebut sebagai satu rintangan yang perlu diatasinya dalam usaha membentuk sebuah pasukan mantap dan berkompetitif di peringkat antarabangsa.
Ia susulan prestasi hambar Speedy Tigers pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia baru-baru ini apabila Malaysia menamatkan kejohanan di kedudukan tercorot, jauh berbeza dengan pencapaian naib juara pada edisi terdahulu.
“Walaupun prestasi kami tidak mencapai jangkaan, detik ini menjadi titik permulaan untuk pertumbuhan dan peningkatan. Kami telah mengenal pasti kelemahan utama dan komited untuk terus mengatasi cabaran ini,” katanya pada sidang media khas semalam.
Dalam masa sama, Sarjit turut menekankan beliau memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membentuk satu pasukan yang kukuh memandangkan baru sahaja mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih selama enam bulan sejak Mac 2024.
“Saya pernah menyatakan ketika mula-mula dilantik sebagai ketua jurulatih bahawa proses membina pasukan yang kompetitif memerlukan masa, sekurang-kurangnya 18 bulan,” jelasnya.
Skuad negara akan kembali menjalani program latihan fizikal intensif selama 12 hingga 13 minggu sebagai persediaan menghadapi Piala Empat Negara yang dijadualkan berlangsung di New Zealand pada Februari 2025.
Menurut Sarjit, tempoh tersebut merupakan jangka masa yang sesuai untuk persiapan di mana beliau berharap pemain dapat memperbaiki prestasi mereka.
“Kita tidak boleh harapkan perubahan drastik dalam masa singkat. Perubahan memerlukan 18 hingga 24 bulan dan pasukan ini mempunyai peluang luas untuk memperbaiki prestasi mereka terutama dalam aspek-aspek yang boleh memberikan impak besar,” tambahnya.
Dalam baki 12 bulan yang ada, Sarjit berharap semua pihak melihat cabaran ini sebagai peluang untuk melonjakkan prestasi hoki negara ke tahap lebih tinggi.
“Pengalaman ini akan menjadi motivasi kepada kami untuk bekerja lebih keras dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dengan matlamat untuk mengharumkan nama negara dalam kejohanan akan datang,” ujarnya.