fbpx

Sabri umpama buku yang masih perlu saya baca – Angeline Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGELINE dan Sabri kini digandingkan dalam Angeline Tanya, Abang Jawab menerusi saluran TV Alhijrah. - ILHAM ZAKARIA

BERHIJAB menuntut ketaatan dan istiqamah. Biarpun sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan iman untuk menutup aurat, pelakon Angeline Tan tidak mampu membohongi hatinya apabila pernah terdetik rasa ‘panas’ ketika mengenakan hijab.

“Setiap hari saya berdoa agar Allah jadikan saya muslimah sejati. Saya bukan sahaja ingin menjadi seorang isteri yang baik, tetapi juga mengharapkan agar istiqamah dalam mempelajari ilmu agama dan bertudung.

“Pernah juga saya ada bercakap dengan suami (Sabri Yunus), pakai tudung ini buat saya rasa panas. Tetapi, sebenarnya itu semua hanya untuk bermanja-manja saja,” kata pemilik nama Islam Ardini Angeline Tan itu.

Pelakon yang popular dengan watak Lucy itu turut berterima kasih kepada suami kerana banyak membantunya mendalami agama Islam.

Sebagai saudara baharu, dia mempunyai banyak persoalan tentang Islam. Bukan sahaja datang daripada dirinya, tetapi terdapat juga soalan yang diajukan kenalan berbeza agama.

“Setelah memeluk Islam pada September tahun lalu, ada beberapa rakan agama lain bertanyakan tentang Islam.

“Mereka ingin tahu gaya hidup masyarakat beragama Islam. Bagi saya, perkongsian ilmu baik untuk masyarakat apatah lagi kita hidup dalam kalangan berbilang bangsa.

“Apabila saling memahami perbezaan, kita akan lebih menghormati dan menyayangi antara satu sama lain,” terangnya.

SEJAK menikahi Angeline, Sabri mengakui semakin mendalami ilmu agama agar dapat lebih kefahaman buat isterinya.

Bercerita mengenai rumah tangga, Angeline sememangnya dalam fasa bahagia hidup di samping Sabri.

Biarpun sudah berkawan lebih 30 tahun, tempoh tersebut juga bukan jaminan untuk dia ‘khatam’ setiap perihal suaminya.

“Kami sudah berkawan baik terlalu lama dan pada masa sama kita ini juga suami isteri. Jadi, kadangkala kita ini seperti kawan apabila di rumah.

“Sejujurnya kehidupan saya kini berasa lebih tenang, bahagia dan seronok. Saya juga masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Bagi saya abang (panggilan buat Sabri) umpama buku yang saya masih perlu baca. Setiap hari satu muka surat baharu, setiap hari ada perkara baharu yang saya pelajari,” terangnya yang ini kini muncul dengan program Angeline Tanya Abang Jawab.

Seperti Angeline. Sabri bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan isteri mengendalikan sebuah program berbentuk keagamaan sebegitu.

Angeline Tanya, Abang Jawab

Di samping dapat berkongsi ilmu bersama penonton, pada masa sama Sabri dapat meluaskan pengetahuan, sekali gus mendalami tentang agama Islam.

“Sebelum berkahwin saya memang tidak pernah bercakap tentang agama Islam dengan isteri kerana takut perkara itu akan menjadi hal sensitif memandangkan kami ketika itu berlainan agama.

“Selepas berkahwin pula dia banyak bertanya tentang Islam. Jika ada persoalan yang sukar diterangkan, saya akan membuat persediaan yang rapi seperti buat kajian, bacaan atau bertanya dengan mereka yang lebih arif,” jelas Sabri.

Selain dua selebriti itu, program tersebut turut menampilkan barisan pendakwah yang akan memberi penjelasan terhadap setiap persoalan.

Walau diterbitkan khusus untuk saudara baharu, program Angeline Tanya, Abang Jawab turut memberi pencerahan mengenai pelbagai isu kehidupan seharian dan panduan dalam menjalani kehidupan berteraskan nilai Islam.

Mula bersiaran pada 18 September di TV AlHijrah, rancangan sebanyak 13 episod itu dapat ditonton menerusi aplikasi AlHijrah Plus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI