fbpx

Obesiti ganggu keseimbangan hormon wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
dianggarkan hampir 20 peratus daripada populasi di negara ini diklasifikasikan sebagai obes. – Gambar hiasan

DI Malaysia, obesiti merupakan salah satu masalah kesihatan yang membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Dianggarkan hampir 20 peratus daripada populasi di negara ini diklasifikasikan sebagai obes.

Malah, Atlas Obesiti Dunia meramalkan bahawa jumlah itu boleh meningkat kepada 41 peratus menjelang tahun 2035.

Jadi, penting untuk negara kita mempunyai strategi pencegahan dan rawatan komprehensif bagi memerangi masalah tersebut.

Trend obesiti yang membimbangkan ini seiring dengan peningkatan penyakit kronik. Tiga punca utama kepada penyakit tersebut iaitu gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Lebih setengah juta orang dewasa di Malaysia kini hidup dengan keempat-empatnya masalah tersebut.

Obesiti bukan hanya mengenai isu berat badan berlebihan, ia juga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang lalu menyebabkan kemerosotan kesihatan.

Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Lim Kim Piow berkata, obesiti sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kebimbangan.

Menurutnya, ia boleh menggalakkan tabiat makan berlebihan dan membawa kepada gaya hidup tidak aktif, peningkatan berat badan, sekali gus memburukkan keadaan kesihatan.

“Obesiti diklasifikasikan oleh Indeks Jisim Badan (BMI) 27.5 atau lebih.

“Salah satu faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes, strok, serangan jantung, penyakit buah pinggang kronik, gout, apnea tidur obstruktif (OSA), penyakit hati berlemak, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain.

“Obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin, lalu memaksa pankreas bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi masalah ini.

“Ini akan mengakibatkan hyperinsulinemia (bacaan gula dalam darah melebihi tahap normal),” katanya.

Tambahnya, mekanisme ini akhirnya boleh bermanifestasi menjadi prediabetes dan diabetes jenis 2.

Malah, Malaysia antara negara yang mempunyai kadar diabetes tertinggi di dunia dengan lebih 3.6 juta orang disahkan menghidap masalah itu pada tahun 2019.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, angka itu diramal meningkat dua kali ganda menjelang 2025, sekali gus memberi kesan kepada kira-kira 7 juta rakyat Malaysia.

Lebih membimbangkan, ramai rakyat di negara ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes.

Statistik mendedahkan bahawa dua daripada lima orang dewasa dan 84 peratus daripada golongan muda berumur 18 hingga 29 tahun tidak menyedari mereka menghidap masalah diabetes.

Selain kesannya terhadap gula dalam darah, obesiti juga boleh mengganggu keseimbangan hormon terutamanya kepada wanita.

DR. KIM PIOW

Mereka yang mempunyai sejarah atau menghidap diabetes jenis 2 berisiko lebih tinggi untuk menghidap PCOS iaitu sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti.

Ini akan menyebabkan simptom seperti haid tidak teratur dan bulu di muka atau badan berlebihan disebabkan peningkatan paras hormon androgen (hormon lelaki) di dalam badan. Selain itu, PCOS merupakan salah satu punca utama kepada masalah ketidaksuburan akibat ovulasi tidak teratur atau ketiadaan ovulasi.

Dr. Kim Piow menyatakan bahawa PCOS dengan obesiti saling berkait melalui hyperinsulinemia dan proses metabolik dalam badan yang tidak berfungsi secara baik.

“Ini menyebabkan ovari berfungsi secara tidak normal dan pengeluaran hormon androgen yang berlebihan, lalu menyumbang kepada simptom PCOS.

“Jika dibiarkan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan ketidaksuburan,” jelasnya.

Dalam pada itu, langkah pertama dalam menguruskan obesiti dengan berkesan adalah memahami kesannya terhadap kesihatan secara keseluruhan.

Dr. Kim Piow menekankan kepentingan untuk mempunyai kesedaran diri dan menekankan bahawa pesakit harus mempunyai kesedaran serta menerima kenyataan bahawa obesiti boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Obesiti boleh menjejaskan jantung, otak dan buah pinggang.

Beliau juga menekankan peranan penting genetik dalam obesiti dan masalah endokrin lain yang berkaitan.

Dr. Kim Piow menggesa orang ramai untuk mengetahui risiko serta mengambil langkah proaktif yang diperlukan untuk memerangi obesiti.

“Memberi perhatian kepada kedua-dua tabiat peribadi dan faktor genetik boleh membantu memupuk keazaman serta kecekalan seseorang dalam perjalanan menurunkan berat badan.

“Ini akan mengubah rasa bersalah dan kekecewaan kepada strategi penjagaan kesihatan yang lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, salah satu strategi utama yang disyorkan oleh Dr. Kim Piow adalah pengurusan makanan.

Beliau juga menggalakkan mereka yang obes untuk mengikut diet rendah kalori, rendah karbohidrat dan menjalankan pemantauan kendiri.

“Setiap orang boleh merekod pengambilan makanan melalui jurnal atau menggunakan aplikasi telefon mudah alih. Inisiatif ini sememangnya dapat membantu mengekalkan kesedaran tentang tabiat pemakanan.

“Pemeriksaan kesihatan secara rutin juga penting untuk diagnosis awal dan mencegah sebarang penyakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI