KOTA TINGGI – Seorang warganegara India putus jari telunjuk ketika melakukan kerja menyelenggara enjin kapal tangki semasa berada di perairan Tanjung Punggai di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa, Tilik Raj, 59, yang bekerja sebagai Pegawai Teknikal Elektrik (ETO) bagaimanapun berjaya diselamatkan kira-kira pukul 5 petang.
Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman dari kapal tangki yang berdaftar dari San Marino mengenai insiden yang berlaku.
“Menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili, sebuah bot ronda APMM diarahkan ke lokasi namun tidak berjaya ekoran faktor cuaca buruk.
“Susulan itu sebuah kapal APMM KM SATRIA ditugaskan ke lokasi kapal tangki terbabit di kedudukan 12.2 batu nautika timur laut Tanjung Punggai dan tiba di lokasi pada pukul 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang sebelum dibawa ke hospital KPJ Pasir Gudang pada pukul 7.10 malam. -KOSMO! ONLINE