KLUANG – Pendaftaran pencalonan untuk bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian yang berakhir hari ini menyaksikan Ketua Bersatu Bahagian Parit Sulong melepaskan jawatannya dan tidak akan bertanding.
Datuk Ariss Samsudin berkata, hasratnya tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Parit Sulong adalah muktamat dan secara automatik terhenti ketika pemilihan itu diadakan nanti.
Katanya, selama kira-kira empat tahun menjawat jawatan itu, sudah sampai masanya untuk memgundur diri dan memberikan laluan kepada pemimpin lebih muda menerajui kawasan Parit Sulong.
“Pelepasan jawatan itu lebih kepada sebab-sebab kesihatan selain ingin menumpukan perhatian kepada keluarga serta beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya.
“Hari ini adalah hari terakhir menghantar borang pencalonan, tapi saya tidak akan membuat apa-apa sebagai hasrat melepaskan jawatan itu,” katanya ketika ditemui semasa hadir dalam program Jelajah Orang Mahkota (JOM) di Sekolah Kebangsaan Batu 3 di Kluang hari ini.
Menurut beliau lagi, pelepasan jawatan itu juga dilakukan secara rela hati tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak.-KOSMO! ONLINE