KEMAMAN – Ribut yang melanda Kijal kelmarin bukan sahaja meragut nyawa seorang penjaja di Pantai Penunjuk di sini malah menjejaskan lebih 50 rumah penduduk di beberapa perkampungan.
Bencana pada pukul 6.15 petang itu turut merosakkan beberapa infrastruktur awam, premis perniagaan dan kenderaan penduduk disifatkan antara terburuk melanda Kijal dalam tempoh 26 tahun.
Seorang penduduk, Mohd. Jaafar Shaari,59, berkata, hampir keseluruhan atap rumahnya diterbangkan ribut, manakala banyak perabot dan barangan elektrik turut rosak.
“Ketika kejadian, saya dan isteri, Rugayah Yahya, 58, serta anak, Nur Aqilah Najihah, 22, panik melihat satu demi satu atap rumah saya diterbangkan sekelip mata.
“Nur Aqilah nyaris cedera terkena cebisan atap rumah yang jatuh, manakala isteri pula terpaksa menyorok di bawah meja makan untuk berlindung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Zaharah Mamat, 63, berkata, dia terpaksa memimpin suaminya, Abdullah Shaari, 67, yang cedera pada kaki akibat kemalangan jalan raya dua minggu lalu untuk menyelamatkan diri.
“Saya dan suami hanya mampu berdoa dan melaungkan azan bersama-sama sewaktu angin kencang itu mengganas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, selain Kijal, beberapa perkampungan di mukim Chukai turut terjejas dengan bencana ribut itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu akan membantu membaiki kerosakan rumah penduduk terlibat.
“Tukang-tukang rumah telah digerakkan untuk membantu membaiki kerosakan rumah penduduk dengan segera.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah mengambil tindakan segera membersihkan pokok-pokok tumbang,” katanya. – KOSMO! ONLINE