fbpx

Guan Eng setuju guna perantara serah wang elak dikesan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Lim Guan Eng bersetuju menggunakan orang perantaraan untuk menguruskan wang bagi  mengelak perbuatan itu dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, Guan Eng bersetuju dengan cadangannya supaya G. Gnanaraja bertindak sebagai perantara selepas yakin dengan `kekebalan’ ahli perniagaan tersebut yang juga kenalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan itu berkata, Gnanaraja paling layak kerana selain `kebal’, lelaki itu juga merupakan ahli Barisan Nasional (BN).

“YB Lim Guan Eng beritahu supaya guna orang perantara untuk menyerahkan wang supaya lain kali saya tidak perlu lagi berbuat demikian kerana takut dipantau SPRM.

“Dalam pertemuan di Pejabat YB Guan Eng pada 17 Ogos 2017, saya syorkan kepada beliau agar Gnanaraja dipilih dan beliau bersetuju dan akan bertemunya (Gnanaraja) di Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya.

Wan Shaharuddin: Ada maklumkan pada Gnanaraja?
Zarul Ahmad: Saya hubungi Gnanaraja melalui WhatsApp pada 17 Ogos dan maklumkan berkenaan perantara dan beliau bersetuju.

Wan Shaharuddin: Kenapa guna Gnanaraja sebagai perantara untuk serahkan wang kepada YB Lim Guan Eng walhal Datuk boleh serahkan sendiri?
Zarul Ahmad: Banyak sebab kerana ketika itu saya sedang dipantau SPRM, jadi risiko tinggi. Kemungkinan juga duit akan jadi lebih banyak pada masa akan datang untuk diserahkan kepada YB Lim Guan Eng.

Zarul Ahmad menyatakan demikian pada prosiding mencabar kredibiliti saksi pada perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menurut Zarul Ahmad, Gnanaraja menggambar perasaannya dengan menyebut `Fantastic Datuk’ ketika dimaklumkan melalui pesanan teks WhatsApp bahawa Guan Eng bersetuju beliau dipilih sebagai perantara untuk menjalankan urusan penyerahan wang.

“Perkara itu juga baik untuk saya kerana dapat menyerahkan wang RM2 juta kepada Gnanaraja dan wang lain pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sebelum mahkamah menangguhkan sidang, Wan Shaharuddin memaklumkan pihaknya berhasrat memanggil pegawai penyiasat bagi kes berlainan di Shah Alam untuk menyokong keterangan Zarul Ahmad.

Peguam Haijan Omar bagaimanapun membantah atas alasan jika saksi itu dipanggil, pihak pembelaan perlu diberi peluang memanggil saksi mereka.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 2 Oktober ini bagi memutuskan sama ada pegawai penyiasat tersebut boleh dipanggil pada prosiding berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI