GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Kampung Kerinting di sini mempertaruhkan nyawa masing-masing hampir setiap hari menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi Sungai Ketil.
Kemalangan dilaporkan makin kerap berlaku kebelakangan ini disebabkan struktur lantai besi yang tidak seimbang dan banyak dawai pagar rosak.
Seorang penduduk, Mohd. Kamarudin Yaacob, 55, berkata, jambatan itu menjadi laluan alternatif bagi penduduk di 10 buah kampung untuk berulang-alik selepas jambatan besi Kampung Kerinting ditutup untuk pembinaan jambatan baharu selama lebih setahun.
Katanya, jambatan sepanjang 200 meter yang menghubungkan Kampung Kerinting dan Bandar Lama di sini merupakan jalan pintas bagi penduduk melakukan pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke sekolah.
“Saya guna jambatan ini setiap hari, namun sekarang sudah tidak begitu selamat lagi kerana bergoyang dan pagar terbuka disebabkan penggunaannya melebihi had atau muatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Mukim Kundur, Wan Rohazaki Wan Zawawi, 48, berharap jambatan itu dapat dibaiki segera demi keselamatan penduduk.
Katanya, seorang pelajar patah jari kaki akibat terkena dawai besi minggu lalu.
“Saya rayu pihak berwajib untuk membaik pulih jambatan ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan supaya langkah segera dapat diambil. -KOSMO! ONLINE